Tuesday, November 20, 2012

War doesn't determine who is right, war determines who is left.

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

"If I Ruled the World" , tajuk pidato yang pernah aku sampaikan suatu ketika dahulu . Bercakap soal hidup dan manusia , namun tidak terlihatkan kehidupan dan kemanusiaan di mana-mana . Gambar ini yang aku kongsikan ketika itu . 


1994 . Oleh Kevin Carter dan dengan gambar ini beliau telah menerima Pulitzer Prize (penganugerahan tertinggi dalam bidang jurnalisme cetak di Amerika Syarikat) . Anak kecil , merangkak mencari sisa makanan , dalam sisa waktu yang berbaki buatnya, sambil diperhatikan oleh sang hering , andai ada sisa peluang untuknya . Gambar ini menjadi muka hadapan media bercetak pada ketika itu dan menjadi perhatian penduduk bumi . Namun dengan sebaris persoalan mengakibatkan sang penerima anugerah memilih untuk membunuh diri  . "Apa yang anda buat untuk bantu anak kecil itu?" , soal mereka dan persoalan itu.. menghantuinya .

Kutuk . Kecam . Bantah . Boikot . Aku kira , dengan kata kunci ini pasti sudah seantero pelosok bumi mengetahui akan hal ini tanpa perlu aku bicara dengan panjang lebar untuk bercakap mengenai rentetannya . Di Universiti Malaya , ilmu psikologi jadi makanan ruji harianku dan perlu dihadam sebaiknya . Aku sedar  akan hakikat bahawa kognitif berfungsi dengan bagaimana , tingkahlaku juga bagaimana fungsinya . Duduk dan bantah , Post dan Komen , atau pelbagai usaha lain untuk merealisasikan kata kunci yang aku senaraikan tadi , pasti punya impaknya yang tersendiri . Besar atau kecil impaknya bukan lagi jadi soal . Bukan isu local , ini isu global . Apa sekadar vokal atau perlu diikut kebijaksanaan akal ?

Menurut hematku  aku kira isu ini tidak lagi boleh jadi isu picisan , dikongsi di laman sosial kerana bosan , tanpa peduli akan kesan , simpati tertumpah jadi alasan . Aku kira isu ini tidak lagi boleh jadi sekadar perhatian tanpa diikuti perbuatan . Ternyata rata-rata mahasiswa/i Universiti Malaya yang aku temukan ketika menyempurnakan penjelajahan Minggu Mesra Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) sesi 2012/2013 menyuarakan simpati mereka buat saudara kita yang kini menderita di bumi sana . Dalam soal ini jiwa dan pemikiran seolah disatukan tanpa halangan . Barisan Akademia , Pimpinan Presiden JTK Kolej Kediaman , Pimpinan Badan Pelajar , dan sesiapa sahaja turut menyuarakan rasa dan pandangan selaras dengan kenyataan-kenyataan yang disuarakan oleh pihak MPPUM sendiri . Adakah semua usaha ini lahir dalam diri atau sekadar untuk hari ini . Hanya kita yang punya jawapannya .

"Perang tidak menentukan siapa yang benar , perang menentukan siapa yang tinggal" - Bertrand Russel (1872 - 1970) . Dalam soal perjuangan ini , aku percaya aku tidak keseorangan . Berpesan pada diri dan pesanan bukan untuk manfaat diriku sendiri , medium apa jua yang digunakan bukan lagi medan tempur untuk menunding satu jari ke arah sesiapa kerana berbalik tundingan empat jari kembali ke arah diri kita . "Sekadar kecam tiada guna , ayuh berdemo . Mereka tak buat apa-apa . Mereka itu . Mereka ini . Sibuk soal mereka , kita sendiri bagaimana ?" Persoalan yang timbul juga bukan semata-mata untuk Kevin Carter yang telah memilih jalannya , tetapi juga kembali ke arah kita , "Apa yang anda buat untuk bantu saudara kita di sana ?" kerana percaturan jawapan bagi persoalan inilah yang bakal menentukan.. siapa yang bakal tinggal . 


Pelancaran Tabung Selamatkan Gaza oleh Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya sesi 2012/2013 dan tabung ini telah dibawa bersama-sama semasa penjelajahan Minggu Mesra MPPUM di seluruh Universiti Malaya . Anda ingin turut menyumbang kepada tabung ini ? Maklumkan menerusi FB: http://www.facebook.com/mppum1213 / TWITTER: @mppum1213



Dalam kepadatan ruang waktu yang diluangkan seawal pagi di dalam himpunan ini sebelum memulakan penjelajahan Minggu Mesra MPPUM hari ini (20 November 2012) . Berlangsung di PWTC , anjuran Perdana Global Peace Foundation (PGPF) dan ketika ini Presiden PGPF , Tun Dr. Mahathir Mohamad sedang berucap sebelum Gaza Emergency Fund dilancarkan .


Tun Dr. Siti Hasmah Hj. Mohd Ali sempat menyampaikan pesan kepada barisan pimpinan Izham Ismail Yang DiPertua MPPUM sesi 2012/2013 . Aku , 'setia' dalam 'usaha' untuk mendengar sama . Terkesan  mendengarkan bicaranya .

My Photo
Sedang menyekolahkan diri , jiwa dan mentaliti . Mahasiswi biasa yang mencari jalan luar biasa dan percaya akan hakikat bahawa semua manusia mahukan kebebasan dan kebebasan itu hakikatnya pasti punya batasannya selagi mana bergelar manusia yang mahu berada dalam kelompok manusia kerana manusia ada norma , agama dan budaya yang membatasinya . Tidak pernah menganggap bahawa itu adalah bebanan sebaliknya anugerah kurniaan Tuhan demi meneruskan kehidupan . Mendongak langit terlalu tinggi dan menginjak tanah seolah tak berpijak di bumi itu bukan perlakuan penuh santun pada hemat saya selaku manusia kerana lakukanlah apa sahaja , kita tetap berpijak di bumi yang sama , menjunjung langit yang juga sama , mati juga akhirnya pengakhiran kita . Hiduplah dengan memberi sebanyak-banyaknya , bukan meminta-minta sebanyak-banyaknya hingga terlupa siapa kita dan siapa mereka dan apa tujuan kita dari tiada menjadi ada . Moga dunia bakal aman , selagi belum aman , maka itu bukan pengakhirannya , sang penulis teruslah menulis , aku mahu saat aku tamat pembacaanku , jalan cerita yang gembira , terukir senyuman bersama dan bahagia jadi penutupnya . Janji ?