Sunday, November 3, 2013

Kehidupan sebagai seorang mantan .

Fail . Kertas . Mesin cetak . Semuanya . Alhamdulillah . Dah selesai . Sekarang tiba masa, saat dan ketikanya . Mula-mula dulu masa baru dapat amanat sebagai Setiausaha Agung tu , semua yang aku kenal dan tak kenal datang bisik bagitahu , susah awak bukan senang jadi Setiausaha Agung ni . Besar cabaran , dugaan , kerja banyak , tugasan kuliah lagi mana nak tanggung . Betul la tu . Memang tak pernah ada tanggungjawab yang tak susah . Susah awak , mencabar . Tugas macam-macam , skop meluas . Mana nak capai matlamat organisasi , mana nak uruskan tugas sebagai wakil pelajar , anak ibu abah , sahabat kepada sahabat sebilik dan sekuliah dan tanpa lupa diri sebagai hamba Dia .

Aku ingat lagi macam mana masa awal-awal tu . Dalam tempoh penyesuaian . Aku kekok tak tahu bila masa sesuai nak masuk pejabat . Mana tak nya , awal-awal tu memang yang mengimarahkan pejabat tu , aku lah . Maklum juga pada yang lain - lain jangan segan nak datang . Tapi tak semua yang begitu. Mungkin masing - masing ada pejabat di fakulti masing - masing aku kira . Tak apa lah . Tak kisah kat mana , asal kerja - kerja yang ditugaskan , jalan , cukup . Bila dah terbiasa pula duduk di pejabat , masalah seterusnya ialah tak tahu bila masa sesuai nak balik ke bilik di kolej . Ada ketikanya balik selepas maghrib . Ada pula selepas isya' . Lama-lama mula balik selepas Subuh . Bila kerja makin menebal nak balik pun rasa sebal . Tambah pula masa tu tak ada kenderaan . Lagi pendek lah langkah aku masa tu . Tapi sejak ada kes pelajar kolej aku yang hilang , sejak kes anjing menyalak jam 5.00 pagi depan Fakulti Sains , aku berhenti terus balik selewat tu . Effe pun dah mula marah sebab risau , jadi aku berhenti begitu .

Ada juga yang persoal , jadi MPP ni macam kejar glamer je . Seronok lah tu selalu keluar muka dalam media sana - sini . Aku tak pasti hal itu baik mahupun tidak . Yang kita fikir baik belum tentu baik untuk kita dan begitu juga sebaliknya . Yang pasti , kalau keluar di media atas dasar profesionalisme , ditemuramah untuk mendapatkan pandangan , disoal kerana sesebuah pencapaian dan sebagainya , membawa nama baik universiti , bukankah itu pembawaan konotasi murni ? Mana - mana MPP di zaman mereka turut muncul di media - media massa . Hati - hati dalam membuat penyataan . Ada yang muncul kerana memenuhi dataran , berbaring di jalan , demonstrasi demi perjuangan , mereka jua turut muncul di mana - mana media massa . Takkan itu membawa makna kejar glamer juga ? Ah . 

Hakikatnya , tidak mudah mengharungi semua ini . Ini bukan dunia semata - mata penuh kegembiraan dan kemasyhuran . Ini dunia yang penuh pengorbanan dan pengharapan . Ya setiap pagi celik (ada kala tak sempat pejam akibat berjaga semalaman) , dengan harapan bahawa aku pasti akan semangat menempuhi hari menyelesaikan amanah yang digalas di bahu dan sedar akan hakikat aku akan korbankan masa ku untuk itu . Setiap hari percaya bahawa varsiti tercinta akan menjadi sebuah tempat lebih baik , bukan sebuah kilang yang memproduksi manusia , bukan pula sebuah syarikat memeras wang ahlinya . 

Terkadang rasa kecewa melihat siapa - siapa sahaja yang menganggap bahawa ini dunia suka - suka . Bertanding di pentas ini kerana ada yang meminta - minta , ada yang memaksa , ada yang ingin sekadar mencuba , ada yang ingin mencipta nama , ada yang ingin merampas kuasa , ada yang tidak tahu apa sebabnya . Bukankah setiap satu undi itu tanda percaya ? Andai ada insan lain bersungguh mahukan anda berada di tempat itu , mohon kenalpasti kenapa . Andai ada insan lain beriya memerlukan anda berada di tempat itu , mohon soal diri kenapa ? Cari tahu sebabnya . Percayalah , bahawa amanah ini bukan sembarangan . Pemimpin hari ini adalah lambang pemimpin masa hadapan . Aku sendiri puas berperang dalam diri berfikir panjang dalam hal ini . 

Tetap sahaja , dalam semua kepahitan ini aku berjaya temukan manisnya . Manis apabila yang dijanjikan direalisasikan . Manis apabila berjuang bersama sahabat seperjuangan . Manis apabila menemukan pemimpin pelajar yang menjadi contoh dan tauladan . Aku turut belajar banyak dari semua kemanisan itu .

Hingga saat ini , yang sumber kekuatanku , adalah semua yang tetap setia bersamaku sepanjang masa dan ketika aku melalui kesemuanya . Walaupun bukan secara literalnya , ya , mereka melaluinya bersama aku dengan penuh percaya . Lemahnya aku sebagai manusia biasa bukan untuk aku jadikan alasan , tetapi sandaran agar kemaafan dapat kalian semua hulurkan kepada aku . Kalau diberi peluang untuk undurkan masa , pasti tak ku terima peluang tersebut kerana semua yang telah aku lalui telah membuatkan aku belajar dan belajar . Kalau lah dapat buat sesi perkongsian mengenai pengalaman ni , kalau lah . Ah .
Sampai hari ni aku panggil Izham Ismail bos . Apahal .

No comments: